KUALA LUMPUR 15 Nov. – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melancarkan buku ECO-SHIFT: Holistic Transformation Towards Environmental Substainability, hasil karya Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
Ketibaan baginda disambut oleh penulis buku itu yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Abdul Halim Ali; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan Pengurus Besar Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Sakri Abdullah.
Karya terbitan bersama UTM menerusi Unit Endowmen UTM dan ITBM yang mengisahkan transformasi holistik ke arah kelestarian alam sekitar itu dijual dengan harga RM120 senaskhah.
Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon berkata, hasil jualan buku itu akan disalurkan ke Tabung Endowmen untuk membantu pelajar UTM yang berdepan dengan masalah kewangan sewaktu mengikuti pengajian.
“Kita meletakkan sasaran untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM1 juta menerusi jualan buku ini,” katanya ketika berucap di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











