Perlu direkodkan - Utusan Malaysia

Perlu direkodkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetap mendesak keputusan kerajaan tidak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dibawa ke Parlimen untuk direkodkan di dalam hansard rasmi.

Menurut Presiden UMNO itu, ia perlu dilakukan kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan berhubung perkara tersebut bukan sahaja tidak mengikut formaliti pentadbiran memandangkan tiada tandatangan untuk diambil satu kenya­taan yang bertanggungjawab, berkesan dan boleh dilaksana.

“Bagaimanapun sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membuat pendirian yang selari dengan kehendak majoriti rakyat. Kita tetap alu-alukan keputusan tersebut.

“Namun kita tetap mahu ia dimaktubkan di dalam hansard Parlimen demi menjaga kedau­latan negara serta mengambil kira kedinamikan realiti sosio-politik dan budaya negara ini,” katanya pada Kongres Menolak ICERD yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Ahmad Zahid berkata, apa yang menjadikan persoalan adakah ICERD akan diratifikasi pada masa hadapan kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan komitmen berhubung pelaksanaannya dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), September lalu.

Beliau menyifatkan ICERD sebagai Malayan Union 2.0 dan UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana usaha menggugat orang Melayu dan bumiputera.

“Sekiranya kerajaan hari ini menolak untuk meratifikasi ICERD selepas menilai perasaan orang Melayu dan bumiputera. Ini bukan bererti mereka tidak akan buat pada masa hadapan. Kita tidak mahu mereka umum tolak ratifikasi hari ini tetapi di masa hadapan mereka secara diam-diam meratifikasi kerana janji dan komitmen telah dibuat di peringkat antarabangsa termasuk di UNGA dan UPR (Semakan Berkala Sejagat) Geneva pada 8 November lalu.

“Kita sudah merdeka pada 1957, jangan kita bawa balik penjajah dengan satu lagi perjanjian antarabangsa seperti ICERD ini. Tidak ada sebab untuk kita serahkan pentadbiran negara kita untuk diperkotak-katikkan oleh masyarakat antarabangsa. Negara kita, kita bina dengan acuan kita sendiri, kenapa perlu kita minta orang lain tentukannya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid percaya himpunan gergasi membantah ICERD yang dijadualkan pada 8 Disember ini menjadi sebab utama kerajaan menolak hasrat untuk meratifikasi ICERD.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×