KANGAR 16 Nov. – Teka-teki pasukan yang bakal menjadi destinasi Mohd. Badhri Radzi atau Piya meneruskan karier bola sepaknya tahun depan mungkin terungkai dalam sedikit masa lagi apabila bekas pemain The Red Warriors (TRW) itu dikatakan berminat untuk menyertai Perlis.
Kemungkinan itu diperkuatkan lagi oleh faktor bahawa pemain tengah itu telah menemui Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) minggu lalu di Kelantan dan disahkan oleh Presidennya Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.
Malah, Ahmad Amizal tanpa berselindung mengakui pihaknya begitu berminat mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan itu bagi memperkuatkan skuad Singa Utara yang akan bertarung dalam Liga Perdana musim depan.
“Dalam rundingan itu, kami mendapat respons positif daripada Piya yang juga kelihatan berminat menyertai Perlis. Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, Piya akan bersama kami.
“Pengalaman dan keupayaan Piya mampu memperkuatkan skuad Perlis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sebelum ini, bekas jeneral padang TRW itu menafikan dia akan menyertai Terengganu FC 1 (TFC 1) musim depan.
Anak kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu sebaliknya menegaskan berita penghijrahannya ke TFC 1 musim depan hanyalah khabar angin.
Piya merupakan antara tunjang Kelantan ketika mereka meraih kejuaraan treble musim 2012 sekali gus melakar sejarah baharu dalam sukan bola sepak di negeri itu.
Sementara itu, Ahmad Amizal berkata, selain Piya, pemain pertahanan pasukan Kelantan, Amirrizduan Taj Tajuddin juga menjadi sasaran Perlis musim depan.
“Kami juga sedang mengadakan perbincangan dengan Amirrizduan bagi mendapatkan khidmatnya,” katanya.










