KUALA LUMPUR 29 Nov. – Polis sudah memanggil wakil parti politik UMNO dan PAS berhubung perhimpunan meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijangka berlangsung pada 8 Disember depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah memanggil wakil penganjur untuk berbincang mengenai perhimpunan tersebut, dan sekiranya perlu, mereka akan dipanggil sekali lagi.
Ujarnya, pihaknya tidak dapat membuat keputusan sekiranya penganjur tidak membuat permohonan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Mereka ada buat permohonan dengan polis, namun mereka juga perlu membuat permohonan dengan DBKL sebab perhimpunan itu ingin diadakan di Dataran Merdeka.
“Selepas itu barulah kita boleh buat penilaian dari segi keselamatan sama ada boleh diluluskan ataupun tidak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










