KUALA LUMPUR 19 Nov.-Kerajaan digesa memberi perhatian dan mengambil tindakan serius khususnya dalam memperhalusi gerak kerja bagi menangani ancaman negara khususnya di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain itu, kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan perlu membina hubungan rapat dengan agensi perisikan negara jiran seperti Indonesia dan Filipina bagi menjaga kawasan terlibat.
Beliau yang juga bekas Menteri Pertahanan turut menegaskan, soal keselamatan dan pertahanan bukan hanya terhad menjaga sempadan perairan atau menghalang kemasukan pengganas ke dalam negara , tetapi ia turut meliputi pembentukan kerjasama strategik bersama pihak lain.
“Kementerian Pertahanan telah diperuntukkan bajet yang rendah dalam Belanjawan 2019. Peruntukan yang berkurangan ini sudah pasti memberikan petunjuk yang tidak baik bagi memelihara kepentingan pertahanan dan keselamatan di Sabah.
“Apa yang membimbangkan, ada laporan agensi pertahanan maritim di Filipina bahawa 10 ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf, lengkap dengan senjata api seperti pistol, senapang dan pelancar bom tangan, mempunyai rancangan dalam aktiviti penculikan di beberapa kawasan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE










