SEREMBAN – Seorang penyelia syarikat perumahan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 78 pertuduhan membabitkan pecah amanah bernilai hampir RM1 juta.
Tertuduh, Wong Tse Wei, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim G. Ramesh dan mohon dibicarakan.
Bagi kesemua 78 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan RM 970,000 itu, Wong didakwa sebagai ejen atau penyelia syarikat Great Five Development Sdn. Bhd. berlokasi di Seremban yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta tertentu iaitu dana syarikat berkenaan telah melakukan pecah amanah jenayah.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya di syarikat berkenaan antara Januari 2016 hingga Ogos 2016.
Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – Bernama










