Apakah isu khatan bayi perempuan jauh lebih penting daripada menumpukan perhatian bagi menangani kos sara hidup rakyat?

Apakah ia terlalu mustahak mahu diperbincangkan ketika pekebun kecil, penoreh getah dan peneroka Felda mengeluh kerana pendapatan merundum?
Adakah ia terlalu getir untuk diperdebatkan ketika anak-anak muda mengeluh kekurangan pekerjaan? Adakah isu itu menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan tergugat ketika isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mewujudkan kemarahan mereka?
Persoalan ini dibangkitkan berikutan reaksi pantas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail yang menyatakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung isu khatan bayi perempuan. Beliau memberi reaksi itu selepas ada desakan pejuang-pejuang hak asasi manusia yang menganggap perbuatan tersebut mendera atau mencederakan kanak-kanak.
Penulis tidak berhasrat mahu membincangkan dari segi agama sama ada ia wajib, sunat atau harus, semuanya boleh dibaca di link inihttp://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita atau buka sahaja laman web Majlis Fatwa Kebangsaan di situ pasti ada jawapan, tidak payah buang masa untuk berdebat.
Tetapi apa yang penulis persoalkan, kenapakah Wan Azizah terlalu prihatin terhadap isu ini? Kita faham beliau juga adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi tak kanlah soal khatan bayi perempuan lebih penting daripada isu-isu lain berkaitan rakyat.
Sebab itulah penulis tidak terkejut apabila Tan Sri Dr.Rais Yatim ketika merujuk kenyataan Wan Azizah dalam twitter berkata, “La hai..takda hal lain nak dipolemikkan. Macamlah Melayu baru masuk Islam. Kan lebih baik bincang harga getah atau sawit.’’
Wan Azizah patut tahu isu apa yang harus diperkatakan dan isu apa yang perlu diutamakan. Soal-soal bersunat atau berkhatan ini biarlah diuruskan oleh pihak lain, bukanlah peringkat Timbalan Perdana Menteri atau Menteri untuk fikirkan. Kalaupun hendak campur tangan sangat, bincang sahaja secara tertutup dalam mesyuarat, tak perlu buat kenyataan media hendak tunjuk keprihatinan beliau.
Kalau mahu bercakap soal prihatin, banyak lagi isu lain yang patut Wan Azizah bersikap demikian. Wan Azizah patut bercakap atau mengulas bagaimana mahu menunaikan janji dalam manifesto Pakatan Harapan yang tidak dilaksanakan? Bagaimana mahu mencari jalan mengurangkan kos sara hidup rakyat sebab pemimpin Pakatan Harapan berjanji kalau GST dihapuskan dan SST dilaksanakan, kos sara hidup akan turun. Bahasa mudah banyak lagi perkara lain yang patut Wan Azizah ambil tahu sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri.
Sebagai seorang yang dianggap `bidan terjun’ dalam dunia politik, Wan Azizah perlu cepat belajar macam mana mahu memposisikan diri sebagai orang nombor dua dalam negara. Utamakanlah isu rakyat seperti mana dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri sebelum ini seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.
Soal sunat menyunat, khatan berkhatan ini, tidak payahlah untuk dipolemikkan lagi. Jadilah pemimpin kerajaan yang benar-benar tahu masalah rakyat dan menyelesaikannya bukannya ambil tahu dan mahu menyelesaikan isu yang tidak sepatutnya, takut nanti orang cakap, kita berada dalam kedudukan sekarang disebabkan oleh nasib. Harap Wan Azizah tidak berada dalam `kelas’ tersebut. – UTUSAN ONLINE










