ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk kedai mati akibat terkena tembakan selepas cuba merempuh beberapa anggota polis menggunakan kereta, dalam kejadian di Jalan NB2, 10/2, Taman Nusa Bestari 2, di sini awal pagi hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.30 pagi apabila polis menerima maklumat berkaitan kes pecah masuk kedai di kawasan berkenaan.
Katanya, polis yang ke lokasi kejadian mendapati terhadap seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan pintu masuk sebuah kedai namun lelaki itu cuba melarikan diri ke lorong belakang bangunan apabila menyedari kehadiran polis sebelum berjaya ditahan.
“Namun, ketika dalam proses menggari lelaki itu, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Iswara dipandu laju cuba merempuh anggota polis dan lelaki yang ditahan.
“Anggota polis cuba memberi amaran dan menghalang kereta berkenaan namun ia terus meluru ke arah mereka hingga menyebabkan anggota berkenaan terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah kereta bagi mempertahankan diri,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khalil berkata, kereta berkenaan kemudian terbabas dam berhenti kira-kira pada jarak 120 meter dan pihaknya mendapati tembakan itu terkena pada seorang lelaki yang juga pemandu kereta dan dia maut di tempat kejadian. – K! ONLINE










