KUANTAN 15 Nov. – Seorang penjawat awam didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan wang kutipan sewa Dewan Kompleks Rakan Muda Bera berjumlah RM2,250 di Jabatan Belia dan Sukan Bera, Bera dekat sini pada Februari dan Mac tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Hisham Mohd. Kamaruddin yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) di jabatan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh pada 10 Februari 2017 didakwa pecah amanah wang kutipan sewa Dewan Kompleks Rakan Muda Bera RM800 yang sepatutnya dimasukkan ke Akaun Jabatan Akauntan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan jumlah RM1,450 pada 28 Mac 2017.
Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Sarah Zainal Abiddin dan tertuduh diwakili peguam, Syadzuwan Mohamad Taib.
Hakim menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh penyerahan dokumen serta sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










