SUBANG JAYA 28 Nov. – Kejadian menimpa anggota bomba yang cedera dalam insiden rusuhan dihadapan Kuil Sri Maha Mariamman didakwa berlaku akibat kemalangan jalan raya.
Setiausaha Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, VK Ragu berkata, anggota bomba tersebut dilanggar ketika jentera bomba berundur daripada operasi pemadaman.
“Anggota tersebut berada di belakang jentera bomba dan bila jentera tersebut berundur dengan laju, dia tersepit dibelakang antara jentera dan van bomba.
“Individu yang memukul lori tersebut mahu memberitahu terdapat individu dibelakang jentera tetapi jentera terus berundur dan kami yang selamatkan anggota tersebut sebelum dia dihantar ke hospital,” katanya dalam sidang akhbar di kuil tersebut, di sini, hari ini.
Menurut Ragu, pihaknya mempunyai bukti video rakaman tersebut dan menganggap insiden itu tidak melibatkan isu perkauman.
Ketika ditanya mengenai kesan lebam di badan anggota tersebut, Ragu memberitahu itu adalah kesan daripada kemalangan tersebut.
“Anggota tersebut tidak dipukul, malah kami yang berada disitu membantu mengeluarkannnya,” ujarnya.
Jelasnya, setakat ini tidak ada keperluan untuk mereka membuat laporan polis berkenaan hal ini memandangkan perkara tersebut baru diketahui tadi.
Ujarnya, mereka sudah beritahu kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk tindakan lanjut.
Awal pagi semalam seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, cedera manakala jentera dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di hadapan kuil tersebut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib ditarik keluar dari tempat duduk hadapan penumpang EMRS sebelum dipukul kumpulan perusuh tersebut. -UTUSAN ONLINE










