Penggawa mukim Yala ditembak mati - Utusan Malaysia

Penggawa mukim Yala ditembak mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YALA 30 Nov. – Dua penyerang bersenjata menembak mati seorang penggawa ketika pulang dari menunaikan solat Jumaat di Kampung Kasang, Mukim Tanah Putih di daerah Benan Setar, Yala hari ini.

Dalam kejadian pada 1.40 petang waktu tempatan, mangsa iaitu Abdul Latif Yanya, 49, yang merupakan Penggawa Mukim Tanah Putih ditembak mati ketika tiba di hadapan rumah penduduk kampung untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul.

“Mangsa ditembak di bahagian kepala oleh penyerang yang bersenjatakan senapang AK47. Pihak berkuasa juga menemui lima kelongsong peluru di lokasi kejadian,” kata Ketua Bahagian Siasatan Balai Polis Benan Setar, Kapten Nattavut Pechsatitrong hari ini.

Jarak antara masjid dengan lokasi kejadian pembunuhan itu adalah kira-kira 80 meter, katanya.

Menurut beliau, penyerang turut berbalas tembak dengan pasukan keselamatan ketika melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan motosikal sejurus selepas melakukan pembunuhan itu. 

Bernama difahamkan seorang daripada penyerang tersebut telah ditembak mati oleh pasukan keselamatan dalam insiden berbalas tembak itu, manakala usaha memburu seorang lagi penyerang sedang giat dilakukan.

Setakat ini pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang insiden tembak-menembak itu. – BERNAMA


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN