Pengecualian cukai kepada wanita kembali berkerja - Utusan Malaysia

Pengecualian cukai kepada wanita kembali berkerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Dalam menggalakkan golongan wanita yang telah berhenti bekerja untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara, kerajaan akan memberi pengecualian cukai untuk tempoh 12 bulan bermula tahun hadapan kepada mereka yang layak.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, pengecualian cukai yang akan dilaksanakan bermula tahun depan itu akan dipantau dan diuruskan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menerusi program ‘Career Comeback’.

“Wanita merangkumi hampir separuh daripada tenaga kerja serta penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Tahunan Life At Work di sini, hari ini.

Kula Segaran menjelaskan, kementeriannya berhasrat meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita negara daripada kadar 54.7 peratus (2017) kepada 56.5 peratus menjelang 2020.

Beliau memberitahu, ramai wanita profesional terpaksa meninggalkan karier atas alasan menjaga anak yang masih kecil dan ibu bapa.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Hannah Yeoh mengarahkan semua agensi kerajaan mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak bermula 1 Januari depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN