Penganut Hindu akan buat laporan kerosakan di kuil - Utusan Malaysia

Penganut Hindu akan buat laporan kerosakan di kuil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA 26 Nov. – Penganut agama Hindu dari kuil di Seafield akan membuat laporan polis berikutan rusuhan yang berlaku awal pagi tadi melibatkan kumpulan lain yang didakwa menyebabkan rumah ibadat tersebut rosak dan mencederakan ahlinya.

Ketua Pasukan Khas Selamatkan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, S. Ramaji dalam laporan portal Free Malaysia Today berkata, terdapat kumpulan yang memasuki kuil tersebut tanpa kebenaran dan menyuruh penganut agama itu keluar dari situ.

Menurutnya, perabot kuil tersebut musnah dan pengatup utama mezbah di bilik paderi juga rosak selain mendakwa paderi utama serta pemimpin kuil ditahan oleh individu yang bersenjatakan pisau.

“Seorang wanita tua yang menggunakan ‘walker’ dan gadis-gadis dipukul serta diberitahu untuk keluar dari kuil.

“Seorang daripada mereka jatuh dan individu dari kumpulan tersebut memijaknya di bahagian dada.” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Hindu Dunia Malaysia, V.K. Regu berkata, 10 laporan telah dibuat dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai persetujuan penghakiman yang dilanggar berkaitan kuil tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Paderi J. Sivasri berkata, penganut agama tersebut tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mencetuskan kejadian itu dan hanya berdoa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×