KUALA LUMPUR 28 Nov. – Untung bersih Sime Darby Property Bhd. merosot kepada RM28.79 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2018, berbanding RM421.69 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Kumpulan itu mencatatkan pendapatan RM480.33 juta dalam tempoh tersebut, meningkat 1.6 peratus daripada RM472.61 juta setahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, peningkatan marginal itu disumbangkan terutama oleh aktiviti jualan dan pembangunan yang lebih tinggi dan penyediaan perkhidmatan pengurusan kemudahan dan penyelenggaraan di Hab Pendidikan Pagoh.
“Angka operasi ini masih sihat walaupun berdepan persekitaran yang mencabar. Pasaran terus lembap tetapi terdapat permintaan terhadap hartanah.
“Kami juga terus memberi fokus kepada usaha mengurangkan inventori syarikat bagi kedua-dua yang sudah siap dibina dan yang masih dalam pembinaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Amrin berkata, tidak termasuk keputusan daripada bahagian usaha sama dan sekutu, pendapatan dalam pembangunan hartanah meningkat 69.6 peratus, terutama dibantu oleh aktiviti jualan dan pembangunan di Serenia City dan Denai Dalam, Cantara Residences dan Pusat Korporat Melawati.
“Segmen pelaburan hartanah melaporkan keuntungan RM10.4 juta berbanding RM4.5 juta setahun lalu. Prestasi kukuh ini disebabkan oleh permulaan penyewaan hartanah pelaburan dan pendapatan daripada penjualan hartanah di United Kingdom bernilai RM2.6 juta,” katanya.
Bagaimanapun menurut beliau, segmen percutian dan hospitaliti kumpulan melaporkan kerugian yang lebih lebih tinggi pada RM9.8 juta, daripada RM6.6 juta setahun lalu, akibat kadar pendudukan yang lebih rendah di semua unit hospitaliti.
Mengulas mengenai prospek, Amrin berkata, Sime Darby Property berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan dan jualan belum dibil masing-masing pada RM1 bilion dan RM2.2 bilion untuk tahun ini.
“Kami berhati-hati dan optimistik terhadap prospek sektor ini termasuk dengan pengumuman Belanjawan 2019 yang memberi pelbagai manfaat kepada pembeli berpotensi.
“Sebanyak 58 peratus pelancaraan kami bagi tahun kewangan 2018 dijual pada harga yang strategik antara RM200,000 dan RM800,000 setiap unit, terutama daripada projek Rumah Selangorku di Putra Heights dan hartanah dua tingkat di Elmina West, Bandar Bukit Raja dan Serenia City,” katanya.










