Pendakwaan serah 224 dokumen berkaitan kes Najib, Irwan - Utusan Malaysia

Pendakwaan serah 224 dokumen berkaitan kes Najib, Irwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Sebanyak 224 buah dokumen yang akan digunakan sepanjang perbicaraan kes pecah amanah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah telah diserahkan kepada pasukan pembelaan.

Gopal Sri Ram
Gopal Sri Ram 

Penyerahan dokumen berkenaan menurut bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram adalah hampir 80 peratus daripada keseluruhan dokumen yang akan digunakan.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Sri Ram ketika sebutan kes di hadapan Hakim Azman Ahmad di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Perkara tersebut turut disahkan oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Ahli Parlimen Pekan dan peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Irwan Serigar.

Pada 25 Oktober lalu, Najib, 65,  dan Irwan Serigar, 61, masing-masing mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Kerajaan Malaysia berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya sebagai penjawat awam iaitu masing-masing atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan didakwa telah melakukan pecah amanah wang antara RM220 juta dan RM1.3 bilion milik Kerajaan Malaysia.

Keenam-enam pertuduhan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh  juga dikenakan denda. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN