Pemuda UMNO Seremban desak Waytha Moorthy letak jawatan - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Seremban desak Waytha Moorthy letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 18 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban hari ini menyokong desakan Ketua Permuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki supaya Senator P. Waytha Moorthy melepaskan jawatan sebagai menteri Kabinet.

Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, ia susulan penularan video beliau memburuk-burukkan negara dengan menyebarkan kenyataan palsu berunsur fitnah di luar negara ketika memimpin pertubuhan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) tidak lama dulu.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya ucapan Waytha Moorthy dalam video itu berniat menghasut, membangkitkan rasa benci dan menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara.

“Sehingga kini, beliau tidak pernah menarik balik kenyataan itu dan tohmahan jahat yang dilemparkan,” katanya kepada para pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.

Zool Amali bersama kira-kira 10 ahli pergerakan itu membuat laporan kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurutnya, laporan itu dibuat bertujuan meminta polis menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Katanya, kenyataan Moorthy menerusi video selama dua minit 39 saat itu menggambarkan seolah-olah negara menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan kepada kaum dan penganut agama lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN