IPOH 19 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timur mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadap dan tidak bertanggungjawab Senator P. Waytha Moorthy apabila melakukan pembohongan besar dalam satu temu bual di luar negara yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketuanya, Muhammad Najib Abd. Rahman berkata, kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bukan sahaja berniat jahat malah fitnah terbesar apabila menggambarkan negara ini melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang melampau.
“Saya percaya ucapan yang dibuat beliau itu berniat untuk menghasut, membangkitkan rasa benci dan menimbulkan ketegangan antara kaum yang akan mengancam keselamatan negara.
“Tidak wajar seorang menteri yang menjaga portfolio perpaduan mengeluarkan kenyataan seperti itu. Saya bimbang keharmonian yang telah lama wujud di negara ini akan bertukar tegang ekoran kenyataan itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pasir PUteh di sini hari ini.
Muhammad Najib bersama kira-kira 20 ahli pergerakan itu membuat laporan terhadap pemimpin utama pertubuhan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu kira-kira pukul 10 pagi.
Dalam video berdurasi 2 minit 39 saat itu, Waytha Moorthy mendakwa Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang besar dengan mendiskriminasikan hak kaum India dalam pelbagai perkara termasuk hak beragama.
Muhammad Najib berkata, Waytha Moorthy perlu menarik semula tohmahan tidak berasas itu dan meletak jawatan sebagai menteri kerana tidak layak memikul tanggungjawab tersebut.
“Beliau tidak layak untuk menjadi menteri apabila tidak pandai untuk menyatupadukan masyarakat sebaliknya bertindak memecahbelahkan mereka.
“Jika beliau dakwa kaum India ditindas di negara ini, mana buktinya sedangkan kita dapat lihat ramai dalam kalangan mereka berpendapatan tinggi dan dalam kalangan profesional termasuk menjadi menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE










