KUALA LUMPUR 18 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan ekoran tular dalam media sosial ketika ini video lamanya sebagai pemimpin Hindraf yang memburuk-burukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selaku menteri yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, Waytha Moorthy mesti melepaskan jawatan secara terhormat dan bermaruah atas kegagalan menguruskan isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak.
“Kelmarin tular video lama beliau selaku pemimpin utama pertubuhan radikal Hindraf yang memburuk-burukkan negara kepada negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah, menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum dan penganut agama lain, antaranya merobohkan kuil hindu dan menafikan hak asasi kaum lain di Malaysia.
“Sehingga kini beliau tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang dilakukan beliau sebagaimana yang ditular melalui video berdurasi dua minit 39 saat itu.
“Lebih mendukacitakan apabila sejak menjadi menteri yang sepatutnya mempromosi perpaduan kaum dan pelbagai agama, beliau lebih cenderung untuk membangkitkan isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya hari ini.
Beliau mengulas video lama yang memaparkan Waytha Moorthy ketika ditemubual di Belanda dipercayai sekitar tahun 2011-2012 yang mendakwa kononnya Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang besar termasuk mendiskriminasikan hak kaum India dalam pelbagai perkara termasuk hak beragama.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, kesungguhan Waytha Moorthy mengheret negara untuk meratifikasi dan mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya menzahirkan kesombongan dan keangkuhan beliau sungguhpun kerajaan sedar majoriti rakyat melihatnya sebagai sesuatu yang mencabar hak keistimewaan Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Imej radikal beliau ketika memimpin Hindraf hanya mengundang krisis keyakinan rakyat akan masa depan keharmonian negara berbilang agama dan kaum di negara ini.
“Pemuda UMNO juga menggesa Waytha Moorthy menarik balik segala kenyataan fitnah dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas pengkhianatan beliau memburuk-burukkan negara di mata negara luar,” katanya.










