PORT MORESBY 17 Nov. – China dan Amerika Syarikat (AS), hari ini saling berbalas kecaman menjelang persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berhubung dasar perlindungan, tarif perdagangan dan dasar luar negara ketika mereka meletakkan visi berbeza bagi rantau Lingkaran Pasifik.
Dalam ucapannya semasa forum perniagaan pra-APEC, Xi Jinping dan Naib Presiden AS, Mike Pence saling menghentam satu sama lain, bakal memperlihatkan medan pertembungan hangat antara pemimpin China dan Presiden Donald Trump semasa Sidang Kemuncak G20 di Argentina bulan depan.
Jinping membidas dasar America First yang bersifat melindungi perdagangan Amerika oleh Trump dan menegaskan bahawa peraturan perdagangan global tidak boleh digunakan secara pilih kasih atau agenda kepentingan diri.
Beliau turut menggesa masyarakat dunia untuk menolak dasar perlindungan dan memihak dengan memberi amaran ia merupakan pendekatan jangka pendek yang akhirnya membawa kegagalan.
Sebagai membalas kenyataan Jinping itu, Pence berikrar bahawa tarif yang dikenakan AS akan kekal melainkan Beijing mengubah pendekatannya.










