KANGAR 4 Nov. – Insiden pergaduhan semasa pemilihan PKR di Keningau, Sabah semalam dan beberapa kawasan lain sebelum ini disifatkan sebagai amat memalukan.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, situasi serta aksi seperti itu lazimnya hanya dapat dilihat dalam masyarakat yang rendah peradaban dan tamadunnya.

Beliau berkata, malangnya dalam negara ini yang terkenal dengan kesantunan, boleh terjadi hal seperti itu.
“Melihat rakaman pergaduhan sebuah parti politik dalam pemilihan pemimpin mereka amat merisaukan. Biasanya, aksi dan cara sebegitu hanya kita lihat dalam masyarakat yang rendah peradaban dan tamadunnya.
“Ternyata kuasa telah menjadikan manusia hilang nilai dan akal yang waras. Apakah kualiti pemimpin yang hendak mereka pilih jika demikian keadaannya?” soalnya dalam status Facebook, hari ini.
Beberapa video tersebar dalam Facebook sejak semalam menunjukkan kekecohan semasa proses pemilihan PKR di pusat pengundian Balai Raya Kampung Marampong, Keningau, Sabah.
Dalam insiden tersebut, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa telah dipukul di kepala oleh seorang lelaki yang menyerangnya ketika meninjau proses pengundian di balai raya berkenaan.
Video berdurasi tiga minit 20 saat itu merakamkan Rafizi berada di dalam pusat pengundian sambil bertengkar dengan seorang wanita dipercayai petugas parti manakala di luar bangunan sekumpulan lelaki bertindak merosakkan dawai penghadang untuk memasuki dewan berkenaan.
Sebelum itu, pemilihan PKR di beberapa negeri seperti Kedah dan Selangor turut dicemari insiden pergaduhan.










