KUALA LUMPUR 16 Nov. – Seorang lelaki Filipina yang dipercayai pemenggal kepala tebusan kumpulan militan Abu Sayyaf diberkas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman dalam operasi khas di Ranau, Sabah pada 8 November lalu.
Turut ditahan dalam operasi bermula pada 30 Oktober hingga 12 November di sekitar Sabah dan Putrajaya itu ialah enam lagi warga Filipina termasuk seorang Subkomander Abu Sayyaf, tiga anggota kumpulan penculik untuk tebusan (KFR) kumpulan militan berkenaan serta seorang ejen menjual jongkong emas warga tempatan.
Menurut sumber, pemenggal kepala berusia 35 tahun yang bekerja sebagai buruh di Sabah terlibat memenggal kepala warga Filipina yang menjadi tebusan Abu Sayyaf sebelum ini.
Ujarnya, polis sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai kaitan dengan kes penculikan dan pembunuhan jurutera elektrik, Bernard Then Ted Fen, 39, yang mati dipenggal di Indinan, Kepulauan Jolo, Filipina pada 18 November 2015.
“Bagaimanapun sukar untuk mengenal pasti penglibatan suspek,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataannya berkata, suspek (pemenggal kepala) turut berperanan merekrut kanak-kanak menyertai kumpulan Abu Sayyaf untuk dijadikan perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina di Basilan, selatan Filipina.
“Suspek ditahan bersama seorang lagi anggota Abu Sayyaf berusia 46 tahun yang bekerja sebagai juruteknik. Mereka dipercayai merancang untuk lari ke selatan Filipina,” katanya.
Mohamad Fuzi memberitahu, tangkapan Subkomander Abu Sayyaf berusia 30 tahun yang bekerja sebagai tukang besi serta menjadi orang kanan kepada pemimpin kanan kumpulan militan itu, Furuji Indama dilakukan pada 10 November lalu di Kinarut, Sabah.
Ujarnya, tiga suspek anggota kumpulan KFR berusia 27 hingga 61 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes penculikan di selatan Filipina dan Sabah pula ditangkap pada 1 November lalu di Tenom, Sabah.
“Seorang daripada suspek yang berusia 34 tahun mempunyai kemahiran dalam menghasilkan senjata api bagi kegunaan kumpulan Abu Sayyaf,” ujarnya.
Jelas Mohamad Fuzi, seorang lagi anggota Abu Sayyaf berusia 60 tahun yang bekerja sebagai peniaga pasar malam di Tenom ditahan pada 12 November lalu dan suspek terlibat melindungi seorang anggota kumpulan militan itu yang ditangkap pada 8 November lalu.
Sementara itu katanya, tangkapan ejen menjual jongkong emas berusia 38 tahun dilakukan pada 30 Oktober lalu di Putrajaya kerana dipercayai terlibat menyalurkan dana kepada rakyat Malaysia, Akel Zainal (pengganas Daesh di Syria) pada 2017 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan.
Tambahnya, kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).










