KUALA LUMPUR 16 Nov. – Tindakan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang menyalahgunakan wang milik majikannya akhirnya membawa padah apabila dia dihukum penjara lapan bulan dan denda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.
Rosmaini, 42, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan curangnya menyalahgunakan wang RM800 milik Wan Nor Sekimah Wan Mazlan, 38, di Maybank Hulu Langat dekat sini pada 16 Oktober lalu.
Ibu dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda.
Terdahulu, Rosmaini yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia yang merupakan ibu tunggal perlu menanggung dua orang anak yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhashima Hashim bagaimanapun memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira wanita itu telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan.
Majistret Haslinda A. Raof memerintahkan tertuduh dihukum penjara bermula tarikh tangkap dan dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut fakta kes, mangsa telah mendapati tertuduh melakukan pengeluaran wang sebanyak dua transaksi daripada akaun miliknya dan terus membuat laporan kepada pihak polis.
Selepas membuat laporan polis, mangsa telah membuat semakan dengan pihak bank dan hasil daripada kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh telah mengeluarkan wang menggunakan kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya di mesin bank tersebut. – UTUSAN ONLINE










