MELAKA 30 Nov. – Seorang nelayan yang hilang lebih 35 jam selepas terjatuh ketika memancing bersama lima rakannya ditemukan mati lemas di perairan Pulau Besar dekat sini tengah malam tadi.
Mayat Md. Rashid Md. Jizan, 52, berasal dari Telok Mas ditemukan sekumpulan nelayan di perairan Pulau Besar pada kedudukan satu batu nautika (1.85 kilometer) antara Pulau Besar dan Pulau Dodol kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, mayat mangsa dicam oleh anaknya, Muhammad Faiz, 24, berdasarkan kepada pakaian terakhir yang dipakainya.
“Mayat nelayan itu dibawa ke Jeti Nelayan Pantai Siring sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk tindakan lanjut.
“Mangsa dilaporkan hilang selepas terjatuh ketika keluar memancing bersama lima rakannya di perairan Pulau Besar menaiki bot berasingan dan mayatnya ditemukan pada kedudukan 1.4 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Amran, operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh Maritim Malaysia bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan nelayan tempatan.
“Orang ramai terutamanya komuniti maritim dinasihatkan agar lebih berhati-hati serta mengutamakan langkah-langkah keselamatan di laut sebelum melaksanakan aktiviti di laut,” katanya.
Ketua Menteri, Adly Zahari turut menziarah keluarga mangsa di Hospital Melaka sebentar tadi bagi menzahirkan ucapan takziah dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.
Sementara itu,
Muhammad Faiz ketika ditemui berkata, arwah bapanya merupakan bekas tentera tidak sempat untuk merancang perkahwinan anak tunggalnya itu yang dijadualkan tahun depan.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Rabu lalu dan kami keluar rumah bersama-sama, arwah pergi ke laut untuk memancing manakala saya ke kilang untuk bekerja.
“Saya amat terkilan dengan kehilangan ini kerana arwah sangat teruja untuk menyambut menantunya pada tahun depan,” katanya sebak. – UTUSAN ONLINE










