KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji tindakan penguatkuasaan terhadap pemaju yang menjadi punca berlakunya banjir kilat di sekitar ibu kota.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan itu termasuk mengenakan kompaun antara RM100,000 hingga RM500,000 ke atas pemaju yang menyebabkan kegagalan fungsi dan operasi sistem perparitan.
“Tapak pembinaan dikenal pasti menjadi antara punca utama banjir kilat di ibu kota. Jadi kita kena tegas dalam penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata selepas merasmikan Majlis Topping off Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Residensi Bayu Andaman, baru-baru ini.
Tambah Zuraida, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Wilayah bagi memantau tapak pembinaan terutama di kawasan yang sering dilanda banjir kilat.
Sementara itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenal pasti sebagai penyebab sistem perparitan tersumbat.
“Kami telah berbincang dengan pihak pemaju SUKE agar pembersihan dijalankan dari semasa ke semasa di kawasan takungan air berdekatan projek pembinaan itu,” katanya.
Antara lokasi yang terjejas adalah sekitar Kampung Melayu Ampang, Taman Kosas, Ampang Utama dan Taman Melur.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPKT akan memperkenalkan Piawaian Perumahan Berkualiti (PBB) dalam usaha memastikan rumah mampu milik yang dibina di negara ini lebih berkualiti.









