Peluang Tottenham tunjuk belang - Utusan Malaysia

Peluang Tottenham tunjuk belang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 23 Nov. – Sejak bergelar bos Chelsea, Maurizio Sarri belum pernah ditimpa kekalahan dalam aksi Liga Perdana Inggeris, namun, Tottenham Hotspur berpeluang memanfaatkan kesempatan itu menjelang pertembungan kedua-dua kelab di Wembley, Ahad ini.

Chelsea kini hanya memiliki kelebihan satu anak tangga dan satu mata di depan seteru mereka Tottenham, selepas memulakan aksi musim ini tanpa kalah.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Mauricio Pochettino turut bermula baik, dan berpeluang memintas Chelsea jika mereka berjaya mencipta kemenangan di Wembley.

Pada ketika Sarri memulakan kehidupan selesa sebagai bos Chelsea, dengan identitinya kian bertapak kukuh, Blues dalam masa sama tidak dapat menolak elemen tuah yang turut membantu mereka.

Selepas Chelsea diikat 2-2 di laman sendiri oleh Manchester United, bulan lalu, skuad bimbingan Sarri itu telah membuka peluang kepada lawan sebanyak 17 kali untuk menjaringkan gol, tetapi mereka hanya dibolosi dua kali daripada jumlah tersebut.

Dengan bakat yang dimiliki, Spurs bukanlah sebuah pasukan yang pemurah. Sarri sangat bergantung kepada kreativiti dan keajaiban Eden Hazard. Tanpa tonggak mereka itu, Blues seperti kehilangan ramuan yang sempurna.

Selain itu, mereka juga berdepan masalah keyakinan terhadap persembahan yang dipamerkan penyerang, Alvaro Morata. Tottenham pula, kelihatan ampuh di benteng pertahanan sejak berada di bawah kendalian Pochettino, dan mereka sudah tentu mahu memanfaatkan peluang melancarkan serangan ke kubu Chelsea.

Skuad bimbingan Pochettino masih belum berada di kemuncak prestasi musim ini, bagaimanapun dengan Christian Eriksen dan Dele Alli yang semakin hampir mendapatkan kecergasan penuh, diharap kelab London Utara itu kembali mendapatkan aksi terbaik mereka.

Selain dua pemain itu, Pochettino turut mengesahkan Jan Vertonghen akan diturunkan menentang Chelsea.

“Ini khabar baik, dia mula menyertai latihan bersama pasukan. Kami akan menanti sehingga esok untuk memastikan sama ada dia akan bermain ataupun tidak. Jan pemain penting untuk kami. Kami bakal berdepan jadual padat, jadi amat penting menerima kehadiran pemain yang pulih daripada kecederaan,” kata Pochettino. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×