Pelajar diupah RM2,500 jadi keldai sindiket penipuan komersial - Utusan Malaysia

Pelajar diupah RM2,500 jadi keldai sindiket penipuan komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Golongan pelajar termasuk di institusi pengajian tinggi (IPT) kini direkrut menjadi keldai bagi pemindahan wang jenayah untuk sindiket penipuan komersil. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Harjinder Kaur Gurdial Singh berkata, ejen-ejen sindiket itu akan memilih golongan pelajar yang terdesak untuk mendapatkan wang saku segera. 

“Mereka (golongan pelajar) hanya perlu membuka dan memberikan akaun bank bersama kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada ejen sindiket. 

“Ejen kemudiannya akan membayar keldai ini sebanyak RM2, 500 bagi satu akaun tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program kepolisan masyarakat JSJK Selangor di Aeon Mall di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan dilakukan pihaknya mendapati setiap keldai sindiket itu boleh membuka sehingga enam akaun bagi berlainan bank. 

Ujarnya, mereka yang menjadi keldai sindiket itu kemudiannya akan memberitahu kepada rakan-rakan untuk terlibat bersama dalam pakatan jenayah tersebut. 

“Hasil siasatan mendapati setiap akaun keldai itu digunakan sehingga 20 kali transaksi bagi pemindahan wang daripada mangsa sindiket penipuan komersil termasuk Macau Scam. 

“Alasan sering digunakan oleh keldai ini bagi melepaskan diri adalah kad ATM mereka hilang namun tidak boleh diterima susulan tidak pernah membuat laporan selain telah berlakunya transaksi dalam akaun didaftarkan atas nama mereka,” katanya. 

Jelas beliau, keldai sindiket ini disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN