KUALA LUMPUR 26 Nov. – Seorang pekerja am di sebuah kelab golf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki harta curi iaitu rangka motosikal kepunyaan seorang peniaga dalam talian, Selasa lalu.
Muhammad Syafiie Mustaffa, 21, didakwa dengan niat curang memiliki rangka motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru bernilai RM2,000 bernombor pendaftaran WNU 2751 milik Muhamad Daniel Jafri, 21, di Jambatan Sungai Penchala, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya dekat sini kira-kira pukul 3 petang, 20 November lalu.
Pemuda itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM6,000 sementara Muhammad Syafiie yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia perlu menanggung ahli keluarganya.
Majistret Wong Chai Sia membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Disember ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE










