Peguam upah sekumpulan lelaki - Utusan Malaysia

Peguam upah sekumpulan lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Hasil siasatan pihak polis mendedahkan dua peguam yang dilantik oleh pihak pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) telah mengupah seramai 50 lelaki Melayu untuk menceroboh dan mengawal tapak Kuil Sri Mariamman, Subang Jaya pada Isnin lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar kecil) berkata, dua peguam terbabit yang kini telah ditahan oleh pihak polis itu didapati te­lah membayar sebanyak RM150,000 kepada dalang utama kumpulan tersebut.

Menurutnya, sementara setiap ahli kumpulan tersebut kemudian menerima bayaran antara RM150 hingga RM300.

“Tindakan mence­ro­boh yang amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang ini telah me­nimbulkan kemarahan penganut agama Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda,” katanya pada sidang akhbar khas mengenai insiden rusuhan di tapak kuil tersebut di sini semalam.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Kosmo! pada Selasa lalu mela­porkan dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi Isnin lalu, sekurang-kurangnya 18 buah kenderaan, dua motosikal dan sebuah rumah kongsi musnah dibakar dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Mariamman, Subang Jaya pada awal pagi Isnin lepas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, berdasarkan siasatan pihak polis, terdapat dua kumpulan penganut agama Hindu dalam kes tersebut yang mana satu daripadanya bersetuju untuk berpindah dan satu kumpulan lagi tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Tambahnya, setelah beberapa siri rundingan antara pihak terbabit gagal mencapai kata sepakat, pihak pemaju telah merancang untuk melaksanakan perintah mahkamah dengan mengambil alih tapak kuil tersebut seperti diperintahkan mahkamah.

“Beberapa cubaan telah di­buat oleh pihak pemaju untuk mengambil alih tapak kuil tetapi gagal disebabkan bantahan daripada kumpulan penganut agama Hindu dan kekecohan yang berlaku di tapak kuil.

“Susulan itu, pihak pemaju sekali lagi merancang untuk mengambil alih tapak kuil yang dijadualkan bermula pukul 7 pagi 26 November 2018,” jelas beliau.

Ujarnya, perbincangan me­ngenai perkara tersebut telah diadakan antara pihak pemaju dan ahli jawatankuasa kuil malah pihak polis juga telah dimaklumkan mengenai rancangan tersebut serta bersedia untuk me­ngawal ketenteraman di sekitar kawasan kuil itu.

“Namun demikian, pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju telah tidak mematuhi proses pengambilalihan tapak kuil se­perti yang dirancang mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa insiden pergaduhan tersebut tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman.

“Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia telah hidup secara aman dan harmoni sejak sekian lama,” katanya.

Di Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasukan khas Bukit Aman itu akan membantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam mengesan individu yang terbabit mencederakan dua penjawat awam dalam insiden rusuhan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Mazlan Mansor berkata, seramai 30 individu telah ditahan sejak semalam bagi tujuan mengambil keterangan berhubung berhubung kes rusuhan di kuil tersebut.

Menurutnya, tangkapan terbaharu itu turut melibatkan sembilan individu yang telah menimbulkan kekecohan di sekitar kawasan kuil tersebut.

“Polis akan melakukan permohonan reman esok (hari ini) terhadap sembilan individu lagi bagi membantu siasatan.

“Kita akan mengenal pasti dan menahan beberapa individu lagi yang terlibat dalam insiden berkenaan untuk diambil kete­rangan termasuk pemaju One City Development Sdn. Bhd.,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Majistret Nor Ariffin Hisham memerintahkan empat lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kekecohan di kuil Isnin lalu direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Sementara itu, Bernama me­laporkan, bekas Pengarah MCT Berhad, Tong Seech Wi menafikan pembabitannya dalam insiden di kuil itu.

Katanya, beliau telah meninggalkan syarikat itu pada Februari lalu selepas menjual majoriti sahamnya dalam syarikat tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN