PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mengesyorkan supaya setiap hujahan daripada peguam dihadkan dalam tempoh 20 minit sahaja bagi mengelakkan kes-kes di mahkamah mengambil masa terlalu panjang.
Jelas beliau, peguam yang mengendalikan sesuatu kes perlu menyatakan fakta yang paling penting pada peringkat awal hujahan dan tidak meleret-leret sehingga mengambil masa yang panjang.
“Hakim pula jangan mencelah ketika hujahan diberikan dan perlu mendengar dengan teliti supaya dapat membuat keputusan yang adil kerana anda dibayar untuk mendengar hujahan ini.
“Bagi peguam pula, tidak bermaksud hujah yang panjang boleh menang kes tetapi hujah yang efektif,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 9 orang hakim telah mengangkat sumpah iaitu Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Tan Sri Idrus Harun, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Lau Bee Lan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Datuk Yew Jen Kie, Datuk Nor Bee Ariffin dan Datuk Has Zanah Mehat.
Dalam pada itu, Richard turut menasihatkan para hakim supaya tidak membuat sebarang komen yang keterlaluan sebelum memberikan sebarang keputusan kerana dibimbangi akan menimbulkan salah faham.
“Kita tidak mahu supaya terdapat salah faham atau salah tafsir oleh mana-mana pihak yang boleh menjejaskan reputasi mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan mengeluarkan garis panduan berhubung perkara tersebut kepada semua pihak dalam waktu terdekat. – K! ONLINE










