SHAH ALAM 29 Nov. – Suasana pilu dan tangisan menyelubungi dua pegawai daripada Jabatan Imigresen Selangor apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM1,400 ke atas tujuh pertuduhan bersama iaitu pecah amanah berjumlah RM1,400 antara 28 Jun hingga 1 Julai 2016.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut kepada Suhana Samad, 36, dan Zalita Haron,40, setelah mendapati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Rozilah turut memerintah bahawa hukuman penjara terhadap tertuduh berjalan serentak dan sekiranya gagal membayar denda dipenjara enam bulan.
Bagaimanapun, Rozilah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara yang dibuat oleh peguam kedua-dua tertuduh dengan syarat perlu memfailkan rayuan hari ini selewat-lewatnya pukul 3 petang ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Suhana dan Zalita secara bersama-sama pada 28 Jun 2016 melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh Muhaida Mohamed Zan.
Dalam pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh Ooi Shih Xing pada tarikh yang sama.
Sementara bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh MT Yamona; Sun Tzu Hsiang dan Mimi Amalina Abdullah pada 29 Jun 2016.
Dalam pertuduhan keenam, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh Azrulhazizi Azwarman pada 30 Jun 2016.
Bagi pertuduhan ketujuh pula, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh Muhammad Fahmii Abu Bakar pada 1 Julai 2016.
Kesemua pertuduhan ini dilakukan di Bahagian Pasport, Jabatan Imigresen Selangor, Tingkat 2, Kompleks PKNS, Shah Alam.-UTUSAN ONLINE










