KUALA LUMPUR 30 Nov. – Rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor, Isnin lalu seharusnya membuka mata pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya melakukan pemantauan awal di semua kawasan setempat.
Langkah itu bagi memastikan tidak terdapat sebarang rancangan daripada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membina rumah ibadat tanpa kebenaran.
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, kerajaan negeri pula perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas khusus untuk melakukan pemantauan tersebut.
“Pemantauan awal ini penting kerana jika sesebuah rumah ibadat itu dibina tanpa kebenaran, agak sukar untuk pihak berkuasa melakukan proses penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.
“Lebih-lebih lagi, hal berkaitan dengan rumah ibadat adalah isu yang sensitif dan salah faham mudah berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isnin lalu, puluhan individu merusuh di tapak Kuil Sri Maha Mariamman sebelum tercetus pergaduhan di lokasi berkenaan yang menyaksikan sebanyak 18 kenderaan dilaporkan dibakar. – UTUSAN ONLINE.










