BALIK PULAU – Dua pasangan suami isteri dan kekasih diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam sindiket mengedar ganja di negeri ini dalam dua serbuan berasangan Isnin lalu.
Suspek terdiri dua lelaki bersama dua wanita yang masing-masing berusia antara 19 hingga 25 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD) di Bayan Baru dan Sungai Nibong kira-kira pukul 1.30 hingga 5 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jefri Md. Zin berkata, pasangan suami isteri terbabit diberkas dalam serbuan pertama yang dijalankan di sebuah rumah di kawasan Bayan Baru.
“Hasil pemeriksaan telah menemui satu ketulan mampat disyaki ganja di dalam sebuah bilik manakala 10 lagi dijumpai di bahagian but belakang kereta jenis Honda City.
“Susulan penahanan suspek terbabit telah membawa kita ke sebuah bilik hotel di Sungai Nibong. Di situ, kita menahan satu pasangan kekasih bersama 18 ketulan mampat disyaki ganja di dalam kereta jenis BMW,” katanya kepada pemberita di IPD BD di sini sebentar tadi.
Menurut beliau, nilai anggaran dadah yang dirampas dalam dua serbuan terbabit adalah berjumlah RM70,400 dan suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










