PULAU PINANG – Dua pasangan suami isteri dan kekasih berusia antara 19 hingga 25 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam sindiket mengedar ganja di negeri ini dalam dua serbuan Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jefri Md. Zin berkata, pasangan suspek itu ditahan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD) di Bayan Baru dan Sungai Nibong, di sini kira-kira pukul 1.30 hingga 5 pagi.
Menurut beliau, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Bayan Baru, pihaknya menahan pasangan suami isteri dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan satu ketulan mampat disyaki ganja di dalam sebuah bilik.
Turut ditemukan, tambah beliau, sebanyak 10 lagi ketulan mampat disyaki ganja yang disembunyikan di bahagian but belakang kereta jenis Honda City.
“Susulan tangkapan pertama itu membawa kita kepada serbuan kedua di sebuah hotel di Sungai Nibong yang mana kita berjaya menahan sepasang kekasih bersama 18 ketulan mampat disyaki ganja di dalam kereta jenis BMW,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan kira-kira RM70,400 dan suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE










