Pas menentang sepenuhnya pelaksanaan ICERD - Utusan Malaysia

Pas menentang sepenuhnya pelaksanaan ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Pas menentang sepenuhnya pelaksanaan dan mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang majoritinya merupakan kaum Melayu beragama Islam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berpendapat, usaha pihak tertentu yang ingin mengiktiraf ICERD merupakan salah satu langkah permulaan untuk menuntut pelbagai lagi tuntutan yang berkaitan kepentingan mereka selepas ini.

“Orang bukan Islam meskipun mempunyai ideologi politik yang berbeza namun realitinya mereka akan bersatu untuk melihat kehancuran Islam.

“Sejak 1,500 tahun dahulu, Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan pada satu masa nanti akan ada umat bukan Islam hampir-hampir meratah umat Islam. Nampaknya, peringatan itu bakal berlaku tidak lama lagi.

“Sekarang, terdapat segelintir bukan Islam rasa tidak sedikit pun takut seperti dalam isu ICERD ini. Di samping tidak takut, kita pula ‘dicampak’ di bumi sendiri.

“Oleh itu, menjadi kewajipan kita untuk melawan dan menentang apa sahaja perkara yang tidak selari dengan Islam,” katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan aman membantah ICERD selepas solat Jumaat berhampiran Masjid Alwi di sini hari ini.

Lebih 500 peserta menyertai perhimpunan yang digerakkan oleh Pas, UMNO dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam negeri ini yang diadakan selama kira-kira sejam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd. Shukri Ramli dan seluruh barisan kepemimpinan UMNO dan Pas negeri termasuk wakil NGO Islam di Perlis.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahidi Zainul berkata, penyatuan parti UMNO dan Pas ini merupakan mekanisme untuk membantah apa sahaja isu dan perkara yang mampu menjejaskan kepentingan umat Islam tanpa mengira kaum dan bangsa.

“Kita mampu bertoleransi dalam pelbagai perkara lain namun tidak berhubung isu ICERD ini kerana jelas bertentangan dengan prinsip dan ideologi Islam selain menjejaskan kepentingan kaum Melayu,” katanya.

ICERD ialah sebuah konvensyen iaitu perjanjian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Konvensyen itu meminta anggotanya menghapuskan diskriminasi terhadap kaum dan menggalakkan kesefahaman melibatkan semua kaum. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN