KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengadakan rundingan semula dengan kerajaan China berhubung status Program Konservasi Panda Gergasi pada tahun depan, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar.
Beliau berkata, rundingan itu bersesuaian dengan kehendak perjanjian tersebut yang memerlukan semakan setiap tiga tahun bagi penempatan keluarga panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang berada di Malaysia sejak 21 Mei 2014.
“Kita sudah menandatangani perjanjian Program Konservasi Panda Gergasi sehingga 2024.
“Namun rundingan akan dijalankan bersama Persatuan Perlindungan Hidupan Liar China sama ada mahu melanjutkan tempoh penyimpanan keluarga panda gergasi bersama anak keduanya,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Xavier, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.65 juta tahun ini bagi kos pengurusan pusat itu manakala kos tersebut akan meningkat kepada RM7.38 juta tahun hadapan.
“Peningkatan berjumlah RM2.73 juta itu kerana menurut perjanjian antara Malaysia dan China, kerajaan perlu membuat pembayaran yuran konservasi secara ‘one-off’ dengan anggaran sebanyak RM2.38 juta,” katanya. – Bernama










