Parlimen: Pasukan petugas khas siasat insiden Kuil Sri Maha Mariamman ditubuhkan - Utusan Malaysia

Parlimen: Pasukan petugas khas siasat insiden Kuil Sri Maha Mariamman ditubuhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menjadi punca kepada insiden kekacauan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan petugas khas tersebut yang menjalankan operasi dinamakan Ops Seafield itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

“Memandangkan insiden ini mempunyai unsur jenayah, siasatan telah dimulakan serta-merta untuk mengenal pasti pelaku-pelaku jenayah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Pasukan tersebut menggabungkan personel daripada JSJ Bukit Aman, Kontinjen Selangor dan beberapa daerah di Kontinjen Selangor,” katanya ketika memberi penerangan mengenai insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sehingga kini, sebanyak 34 orang telah dirakamkan percakapan, malah sejumlah besar keterangan fizikal juga telah berjaya dirampas di tempat kejadian iaitu 21 buah kereta, enam buah motosikal yang dibakar, sebilah pisau, dua bilah parang serta tujuh pasang kasut dan tiga vest.

Katanya, pihak polis juga telah menangkap 30 individu yang terdiri daripada 24 orang Melayu, dua orang India Muslim, tiga orang India dan seorang Cina. 

“Semua mereka telah direman dengan tempoh reman yang berlainan, sementara 5 orang individu yang baru ditangkap semalam (kelmarin) direman pada hari ini.

“Siasatan polis menjurus kepada isu perpindahan kuil yang menjadi punca rusuhan. Pihak pemaju telah pun mendapat perintah mahkamah untuk mengambil alih pemilikan tanah sejak tahun 2014. 

“Terdapat beberapa kali percubaan oleh pihak pemaju untuk mengambil alih tanah tersebut tetapi gagal kerana terdapat bantahan daripada kumpulan penganut agama Hindu,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN