KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menyasarkan untuk menurunkan kadar keciciran ke sekolah rendah sebanyak 0.27 peratus pada tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada keciciran murid ke sekolah rendah, yang mana ia berbeza mengikut lokasi dan komuniti setempat.
“Antara yang dikenal pasti adalah faktor kemiskinan, sikap murid yang tidak berminat, ibu bapa yang tidak mengambil berat, sakit, kecacatan atau kelainan upaya, masalah sosial serta pembelajaran termasuklah perkahwinan kanak-kanak di bawah umur,” katanya sewaktu sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahmad Husaini Sahari (PH-Putatan) yang meminta Menteri Pendidikan untuk menyatakan jumlah murid-murid tidak meneruskan sekolah dari darjah enam ke tingkatan satu serta alasan mereka tidak menyambung persekolahan. – K! ONLINE










