KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertimbangkan permintaan pengusaha bas ekspres untuk menaikkan tambang perkhidmatan itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.
Katanya, kali terakhir tambang bas ekspres dinaikkan ialah pada 2009 dan sekiranya dipersetujukan, kerajaan akan memastikan peningkatan kali ini adalah pada kadar munasabah untuk membantu pengusaha bas ekspres menampung peningkatan kos operasi, tanpa membebankan pengguna.
“Daripada perbincangan dan konsultasi dengan pengusaha bas ekspres, memang terdapat permintaan dan desakan yang kuat daripada mereka terhadap kerajaan supaya dibenarkan menaikkan kadar tambang dalam lingkungan 10 peratus hingga 30 peratus.
“Dalam situasi rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, sebarang keputusan harus dibuat secara teliti dan kementerian akan mengutarakan syor kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) mengenai gesaansyarikat bas untuk menaikkan tambang sehingga 30 peratus bagi menampung kos operasi yang tinggi. – Bernama










