Parlimen: Kabinet disaran bincang cadangan mansuh hukuman mati dengan jawatankuasa khas - Utusan Malaysia

Parlimen: Kabinet disaran bincang cadangan mansuh hukuman mati dengan jawatankuasa khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming meminta Kabinet membincangkan cadangan memansuhkan hukuman mati bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kajian Rang Undang-Undang yang telah ditubuhkan Parlimen pada Ogos lalu. 

Kor Ming berkata, cadangan pemansuhan hukuman itu mendapat perhatian dan menjadi perdebatan masyarakat, maka ia munasabah untuk dibincang dengan jawatankuasa itu sebelum sebarang keputusan dicapai. 

“Saya mengharapkan Kabinet mempertimbang perkara ini kerana isu sebesar itu perlu dibincang lebih mendalam. Mesyuarat meja bulat boleh diadakan, juga jerayawara untuk mendapat maklum balas pelbagai lapisan masyarakat supaya keputusan yang paling baik dapat dicapai,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata, Jemaah Menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Vui Keong dipetik berkata, keputusan itu yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu turut meliputi undang-undang seperti Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961 dan Akta Angkatan Tentera 1972. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN