KUALA LUMPUR 27 Nov. – Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Datuk Seri Hasan Arifin menegaskan beliau tidak mengetahui tentang pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Parlimen Rompin itu berkata, wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang menganggotai PAC ketika itu menerima laporan berkenaan tanpa pertikaian kerana menganggap ia adalah laporan yang sebenar.
Bagaimanapun, beliau tetap berpegang kepada kenyataan terbaharu bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang menafikan dakwaan ada mengubah laporan berkenaan.
“Saya tidak tahu-menahu. Apa yang Ambrin cakap (nafi ubah laporan), itulah. Apa yang Ambrin bawa ke PAC, itulah laporannya.
“Semasa itu kita anggap itulah laporannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mengesahkan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Madinah dalam satu kenyataan memberitahu, laporan itu ada menyebut kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, namun Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit beliau, Tan Sri Shukry Salleh mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang.










