PAC cuba perangkap – Zambry - Utusan Malaysia

PAC cuba perangkap – Zambry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 26 Nov. – Bekas Menteri Besar Pe­rak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak yang meminta beliau membawa laporan audit kewangan dan dokumen berkaitan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) pada sesi pendengaran awam hari ini sebagai satu perangkap.

Menurutnya, ini kerana menjadi satu kesalahan untuk beliau menyimpan mahupun memiliki sebarang dokumen rasmi kerajaan iaitu boleh didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Saya menganggap ini sebagai perangkap, sebab itu saya memberi jawapan secara bertulis kepada pengerusi PAC bahawa saya tidak menyimpan sebarang dokumen membabitkan anak syarikat kerajaan negeri itu sepanjang menjadi Menteri Besar dan pengerusinya.

“Malah sekarang saya bukan lagi seorang Menteri Besar jadi adalah sesuatu yang janggal apabila surat dihantar dan meminta saya membawa dokumen.

“Bayangkan kalau saya yang bukan lagi Menteri Besar dan membawa dokumen itu maka saya akan dituduh oleh mereka sebagai memegang dokumen-dokumen rahsia kerajaan dan akan didakwa di bawah OSA,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Perak di sini.

Menurut beliau, tindakan PAC itu juga diyakini mempunyai niat dan matlamat yang tidak baik kerana anak syarikat kerajaan negeri itu telah diwujudkan sejak 1951.

Sementara itu, Zambry bertindak meninggal sesi pendengaran awam jawatankuasa tersebut setelah berhujah hampir 45 minit di hadapan Pengerusi PAC Perak, Leong Cheok Keng kerana menyifatkan prosedur itu tidak mengikut tatacara dan peraturan yang diamalkan selama ini.

Kata Zambry, di Parlimen sendiri tidak diadakan sesi pendengaran awam seperti itu meskipun telah ada usaha dilakukan pihak tertentu untuk melaksanakannya, namun ditolak.

“Jangan laksanakan ikut tafsiran sendiri, kena ikut tatacara dan peraturan. Jelas ini suatu episod yang sangat malang dan saya tidak akan membenarkan ia berlaku,” katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PAC Chong Zhemin dan Ahli Jawatankuasa PAC negeri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor; ADUN Teja, Ng Shy Ching (PKR) dan ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria (Pas).

Dua lagi Ahli Jawatankuasa PAC iaitu ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan ADUN Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib tidak hadir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN