SUBANG JAYA 26 Nov. – Orang ramai terutamanya masyarakat Hindu di sekitar kawasan USJ 25 masih lagi berada di sekitar Kuil Maha Sri Mariamman, Putra Heights susulan rusuhan di tempat ibadat Hindu itu pagi tadi.
Tinjauan Utusan Online mendapati, mereka berlegar-legar di kawasan tersebut untuk menyaksikan kesan rusuhan selain mendapatkan perkembangan terkini mengenai kes tersebut oleh pihak pengurusan kuil.
Malah, kesesakan jalan raya turut berlaku lebih dua kilometer di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Shah Alam ekoran orang ramai yang masih berkunjung ke kuil tersebut sejak kejadian itu berlaku.
Namun, keadaan trafik dilihat terkawal apabila beberapa anggota dan pegawai polis ditempatkan di lokasi bagi memastikan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, penganut Hindu bagaimanapun boleh meneruskan upacara keagamaan mereka seperti biasa di kuil tersebut.
Malah katanya, polis akan terus mengawal kawasan sekitar sehingga keadaan benar-benar selamat tanpa sebarang ancaman.
Utusan Online sebelum ini melaporkan dalam kejadian pukul 2 pagi itu sebanyak 18 kenderaan terbakar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menegaskan kejadian itu bukan disebabkan isu perkauman sebaliknya berpunca akibat pertikaman lidah antara dua kumpulan berhubung arahan memindahkan kuil tersebut yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini. – UTUSAN ONLINE










