Orang Melayu, Islam suara bantahan - Utusan Malaysia

Orang Melayu, Islam suara bantahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Suara penolakan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) khususnya dalam kalangan orang Melayu dan Islam terus bergema dari utara ke selatan tanah air.

Hampir di setiap negeri ada dianjurkan perhimpunan selepas sembahyang Jumaat yang ditunjangi dua parti Melayu Islam terbesar iaitu UMNO dan Pas selain disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta dihadiri ribuan peserta.

Di PAHANG, buat pertama kalinya dalam sejarah Pergerakan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas melancarkan himpunan rakyat membantah usaha kerajaan meratifikasi ICERD.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pihaknya bertekad selagi kerajaan tidak menarik balik sokongan dan cada­ngan untuk meratifikasi ICERD, mereka akan terus berarak dari negeri ke ne­geri menzahirkan bantahan.

“Himpunan ini menandakan bantahan dan kejelikan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang baru mendapat kuasa cuba untuk menunjuk ‘belang’ dengan memperbodohkan rakyat terutama umat Islam,” kata beliau ketika berucap di depan lebih 3,000 umat Islam di pekara­ngan Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan hari ini.

Di PERLIS pula, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin turut mengingatkan bahawa usaha pihak tertentu mahu mengiktiraf konvensyen itu sebagai langkah permulaan ke arah menuntut pelbagai lagi tuntutan berkaitan kepentingan mereka selepas ini.

Di TERENGGANU, kira-kira 5,000 umat Islam yang berkumpul di pekarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu melaungkan amaran tidak membenarkan sama sekali ICERD ditandatangani.

Ketua Pergerakan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mengetuai perhimpunan itu memberitahu, amaran tersebut merupakan mesej penting kepada seluruh umat Islam agar sama-sama mempertahankan kesucian Islam daripada dicabuli mana-mana musuh Islam khususnya dalam isu ICERD.

“Kita beri amaran akan ge­rak­kan seluruh umat Islam dari Perlis hingga ke Johor, begitu juga Sabah dan Sarawak. Himpunan hari ini sebagai permulaan sebelum kita teruskan lagi selepas ini,” tegas beliau.

Di JOHOR, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad menggesa kepemimpinan Me­layu Islam dalam Pakatan Harapan (PH) menyatakan bantahan dalam isu ini.

“Perkara ini membabitkan kedudukan agama Islam dan masyarakat Melayu, seharus­nya ditangani dengan berhemah kerana merupakan satu isu sensitif,” kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 umat Islam di pekarangan Masjid al-Jawahir, Johor Bahru.

Dalam perhimpunan itu juga, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali mengumumkan satu resolusi desakan supaya kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytihar penolakan terhadap ICERD secara muktamad bersempena mesyuarat Kabinet minggu depan.

Di PERAK, hampir 2,000 umat Islam menyertai himpunan yang diketuai oleh Naib Presiden Pas, Idris Ahmad di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh.

Idris memberitahu, perhimpunan terbesar di masjid negeri itu merupakan petanda awal kepada golongan yang bersekongkol mengiktiraf ICERD.

“Saya hendak ingatkan ini Malaysia, majoriti 63 peratus terdiri daripada orang Melayu Islam dan kita tidak pernah melakukan penindasan terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu,” tegas beliau.

Di Pulau Pinang pula, lebih 500 umat Islam berkumpul membantah usaha untuk mengiktiraf ICERD di Masjid Jamek Seberang Jaya, Permatang Pauh.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang ditemui selepas perhimpunan meng­ingatkan orang Melayu dan umat Islam supaya meletakkan ke tepi perbezaan fahaman politik dan berjuanglah atas nama Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN