KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd. (AirAsia) akan memindahkan semula operasi penerbangan antarabangsanya di Jakarta dari Terminal 3 ke Terminal 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, berkuat kuasa 12 Disember ini.
AirAsia berkata, dengan langkah itu, semua penerbangan AirAsia termasuk penerbangan domestik akan beroperasi dari satu terminal.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu menambah, jadual penerbangannya tidak berubah di sebalik perubahan itu.
“Penumpang yang berlepas dari Jakarta dinasihatkan untuk daftar masuk melalui laman web airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia, mencetak pas masuk sebelum ke lapangan terbang.
“Mereka juga digesa agar tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
AirAsia memaklumkan, kaunter bagasi, daftar masuk dan perkhidmatan lain akan terletak di kaunter 73-80, Pintu 4 pada tingkat pelepasan atau Tingkat 2, Terminal 2F.
“Penumpang tanpa bagasi diperiksa juga boleh menggunakan kios layan diri AirAsia yang terletak berhampiran kaunter untuk mendaftar masuk atau mencetak semula pas masuk.
“Mereka digalakkan untuk terus ke kaunter imigresen dan tiba di pintu masuk 45 minit sebelum penerbangan,” ujarnya.
Ia menambah, kakitangan syarikat penerbangan itu akan memberikan bantuan kepada penumpang di terminal tersebut sepanjang masa.
Selain menghubungi saluran sokongan pelanggan AirAsia di support.airasia.com, penumpang juga boleh mengikuti akaun Facebook dan Twitter AirAsia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perpindahan itu.










