Noor Azlan mohon proses penyerahan mandat lancar - Utusan Malaysia

Noor Azlan mohon proses penyerahan mandat lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Kementerian Pendidikan diharap dapat mencari calon bagi jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memastikan proses penyerahan mandat berjalan lancar.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali memaklumkan, ini kerana beliau akan menamatkan tugas berkuat kuasa 31 Disember depan selepas menggalas jawatan Naib Canselor selama dua penggal dari tahun 2014-2016 dan 2017-2018.

“Lima tahun sudah cukup bagus bagi saya untuk melakukan impak. Saya gembira untuk melepaskan jawatan kepada pemimpin baharu dan kementerian mengetahui akan perkara ini.

“Saya meminta Naib Canselor baharu dapat dinamakan bagi memastikan proses penyerahan mandat dapat berjalan lancar. Mandat dan kepercayaan penuh daripada Menteri Pendidikan amat kritikal dalam melaksanakan tugas sebagai Naib Canselor. Saya diberitahu bahawa Naib Canselor baru akan dinamakan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Noor Azlan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu beliau dalam melaksanakan amanah sebagai Naib Canselor dengan baik sehingga membawa UKM menduduki tempat ke-184 universiti terbaik di dunia.

“Saya mohon maaf atas sebarang kekurangan dan salah silap sepanjang menjalankan tugas. Semoga UKM terus hebat dan cemerlang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN