PADA 24 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dilaporkan berkata, kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama 2019.
Apa yang berlaku seterusnya, mungkin di luar jangkaan Waytha Moorthy sendiri apabila gelombang demi gelombang penolakan ICERD meletus, tidak hanya laporan polis, malah himpunan demi himpunan dilakukan di seluruh negara bagi menolak pelaksanaan ICERD.
Suara daripada masyarakat sivil, agamawan serta akademik, semuanya khuatir terhadap triti itu yang dilihat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara 153 mengenai hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Melihat isu berkenaan sebagai ancaman kepada kedudukan Melayu dan Islam yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan, dua parti pembangkang terbesar di negara ini iaitu UMNO dan Pas mencapai kata sepakat untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran menolak ICERD di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini.
Malah, perkara ini juga mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan pelaksanaan ICERD hampir mustahil dilakukan kerana melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara ini sensitif kepada orang Melayu, kami memahaminya. Dalam ucapan di (perhimpunan agung) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, saya menyebut tentang kerumitan dalam pelaksanaan ICERD. Jadi, kami tidak menyatakan komitmen bahawa akan melakukannya,” katanya ditanya pemberita di Papua New Guinea pada 18 November lalu.
Bagaimanapun, isu ICERD masih tidak juga reda, malah Waytha Moorthy yang merupakan menteri bertanggungjawab terhadap perpaduan terus mendapat kecaman ekoran tular kembali video wawancaranya yang kontroversi di Belanda kira-kira 10 tahun lalu mengenai layanan terhadap kaum India di negara ini.
Bagi menoktahkan segala polemik, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan tegas bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi ICERD sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” kata kenyataan itu.
Penyataan ‘tidak akan’ itu sedikit sebanyak melegakan berbanding ‘ditangguhkan’ atau ‘masih dalam perbincangan’, begitupun, bukan mudah untuk menamatkan isu ICERD ini buat selama-lamanya kerana rasa kebimbangan itu telah pun menjelma.










