SELAMA lebih 10 tahun berkarier dalam landskap muzik indie, band yang berasal dari Jakarta, Indonesia, Payung Teduh tidak pernah mengimpikan kerjaya seni mereka dapat bertahan sejauh ini.
Bermula pada tahun 2007, Payung Teduh yang mengangkat muzik campuran folk, keroncong dan jazz belum pernah gagal menyita rasa suka dalam kalangan pemujanya.
Lagu-lagu seperti Angin Pujaan Hujan, Untuk Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan dan Akad pula menjadi antara karya popular yang pernah diterbitkan Payung Teduh.
Tidak keterlaluan dikatakan, band yang diterajui Alejandro Saksakame, Comi Aziz Kariko, Ivan Penwyn, Taufiq, Marsya Ditia dan Pandji Putranda itu masih utuh mengekalkan nilai relevan biarpun telah sedekad menebar kreativiti dalam bidang muzik.
Buktinya, Payung Teduh dipilih oleh The Walt Disney Company Indonesia untuk menyanyikan lagu runut bunyi filem animasi terbaharu syarikat tersebut, Ralph Breaks The Internet.
Diberi judul Sebuah Lagu, Payung Teduh menjelaskan penglibatan mereka menerusi kolaborasi bersama Disney sebagai satu tuah yang tidak pernah dijangka.
Kolaborasi
“Sepanjang berkarya, kami tidak pernah mengimpikan kolaborasi seperti ini akan berlaku. Kerjasama dengan Disney bagaikan mimpi yang sukar untuk dipercayai.
“Tambahan pula, Disney sendiri memilih kami untuk menyanyikan lagu runut bagi pasaran Indonesia dan Malaysia. Tentulah kami berasa sangat dihargai memandangkan kami merupakan satu-satunya artis yang dipilih dari rantau Asia Tenggara,” ujar Comi memulakan bicara.
Ditemui pada sidang akhbar bagi memperkenalkan Payung Teduh sebagai penyanyi lagu runut bunyi Ralph Breaks The Internet di Jakarta baru-baru ini, Comi menjelaskan, tidak sukar untuk menghasilkan lagu mengikut piawaian yang telah ditetapkan Disney.
“Sungguhpun muzik Payung Teduh agak dewasa tetapi kami tetap dapat menghasilkan sebuah karya yang sesuai untuk penonton Ralph Breaks The Internet.
“Liriknya ditulis bermodalkan kisah persahabatan kami. Jadi, untuk menambah lagi rasa santai, kami meminta pengurus kami, Marsya untuk menyanyikan lagu ini,” katanya.
Tidak meletakkan jurang besar antara muzik Payung Teduh dengan filem yang diterbitkan khas untuk kanak-kanak, Comi berkata, dia dan rakan-rakannya meminati filem terdahulu, Wreck-It-Ralph yang disifatkan sesuai untuk ditonton pelbagai lapisan usia.
“Benar, filem ini secara dasarnya diterbitkan untuk kanak-kanak. Namun, sewaktu Wreck-It-Ralph ditayangkan dahulu, kami memang pergi menonton.
“Jadi, perasaan teruja itu juga kami suntik ke dalam lagu ini bagi menambahkan sinergi antara muzik kami dan jalan cerita bagi filem sekuelnya,” katanya lagi.
Vokalis
Berkenaan pemilihan Marsya sebagai vokalis untuk lagu berkenaan, Alejandro menjelaskan, ia tidak memberi bayangan bahawa Marsya akan mengisi posisi vokalis untuk selama-lamanya.
“Kumpulan Payung Teduh bersifat terbuka. Kami sering memberi peluang kepada pemuzik lain untuk ikut serta setiap kali membuat persembahan.
“Jadi, untuk projek kali ini, tidak salah rasanya kami memberi peluang kepada Marsya,” ujar Alejandro sambil memberitahu Marsya kerap mengikuti mereka membuat persembahan sejak kebelakangan ini.
Tambah Alejandro, biarpun tugas hakiki Marsya adalah menguruskan kerjaya mereka, namun Marsya mempunyai bakat dan mampu menyanyi dengan baik.
“Komuniti pengurusan Payung Teduh semuanya mempunyai latar belakang muzik. Ada yang boleh bermain muzik dan ada juga yang boleh menyanyi dengan baik.
“Sejak vokalis lama meninggalkan Payung Tedung, Marsya telah mengikuti kami untuk menyanyi, selain Ivan yang memangku status vokalis saat ini.
“Kami sentiasa berubah dan bertumbuh. Kebetulan, Marsya merupakan hasil daripada pertumbuhan tersebut,” ujar Alejandro lagi.
Bagi Marsya pula, dia sendiri berasa agak janggal untuk menjadi muka depan band yang diuruskan. Namun, kejanggalan tersebut hilang saat kerjasama dan respons positif diberikan daripada teman-temannya.
Persahabatan
“Saya gembira menyanyi untuk Payung Teduh. Namun, kadang-kadang perasaan bimbang dan panik menyerang diri. Maklumlah, rasa gementar pasti akan datang apabila mahu menyanyi depan penonton.
“Bagaimanapun, saya masih belajar dan banyak lagi perkara yang perlu saya hadamkan untuk bergelar muka depan band ini,” katanya.
Ditanya adakah menyanyi lebih sukar daripada menguruskan Payung Teduh, ini jawapan Marsya:
“Sejujurnya, kedua-duanya tidak susah kerana saya telah mengenali mereka untuk satu tempoh yang lama.
“Kami merupakan band indie dan mereka ini semua sahabat saya. Tidak pernah terbeban dengan tanggungjawab baharu ini,” kata Marsya sambil tersenyum.
Melihat pada populariti mereka yang semakin mencanak naik, Payung Teduh tidak pernah menjadikannya sebagai satu kepuasan.
Jelas Comi, mereka hanya mahu berkarya dan hal duniawi seperti populariti bukanlah perkara yang menjadi keutamaan.
“Apa yang boleh kami katakan, ia merupakan kesan atau impak daripada karya-karya Payung Teduh.
“Kami tidak pernah mengharapkan sebarang imbalan sewaktu sedang berkarya. Apa yang kami lakukan adalah mencipta lagu, melalui proses rakaman dan menerbitkan album.
“Apa yang penting adalah kami dapat membuat persembahan di mana sahaja. Itu adalah tugas kami sebagai pemuzik,” ujarnya jujur.
Kehilangan Istiqamah, bekas vokalis mereka akhir tahun lalu, Payung Teduh menyifatkan ia sebagai satu proses untuk terus berkarya dan membikin muzik.
“Ke mana pun jalannya, seseorang pemuzik perlu terus berkarya. Itu perkara paling mustahak. Sebagai sebuah kumpulan pula, kami akan terus bekerja dan menghasilkan muzik.
“Selagi ahli kumpulan Payung Teduh yang lain masih ada, kami akan tetap bermain muzik, barangkali sehingga kami mati,” kata mereka menutup bicara.











