Sebagai sebuah pusat peranginan terkenal di negara ini dan Asia Tenggara, Genting Highlands tidak perlu lagi diperkenal. Pelbagai tarikan pelancong pusat beli belah Genting Premium Outlet (GPO), perkhidmatan kereta kabel dan kemudahan lain termasuklah penginapan Awana Genting.
Dengan jarak hanya lebih kurang 60 km sahaja dari Kuala Lumpur, pengunjung dapat menikmati suasana nyaman di pusat pelancongan tanah tinggi tersebut sama ada mereka menaiki bas ulang-alik, teksi mahupun memandu kenderaan sendiri.
Selain menawarkan penginapan bertaraf lima bintang, Awana Genting turut memiliki padang golf 18 lubang dan pelbagai kemudahan lain.
Dalam masa yang sama, pelbagai program dianjurkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat peranginan berkenaan selain menambah daya penarik bagi memberi nilai tambah kepada kemudahan sedia ada.
Kemudahan terbaharu yang sedang ditambah antaranya termasuklah pembinaan taman tema, manakala program menarik yang dianjurkan adalah Hutan Fesyen yang agak unik dan mempunyai keistimewaan kerana agak jarang dianjurkan sebelum ini.
Program tersebut dianjurkan bertujuan memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam semula jadi yang cukup mengagumkan yang dijenamakan sebagai Awana Biopark.
Pengurus Besar Hotel Awana Genting, Isaac Ishak Yunus berkata, ia diberi nama Hutan Fesyen kerana direka berdasarkan keunikan bentuk muka bumi dan kreativiti sedia ada tanpa melakukan sebarang aktiviti yang boleh memusnahkan keaslian flora dan fauna asli di dalam hutan ini.
Katanya, Hutan Hujan Tropika yang disokong dengan kemudahan Internet 4G ini mampu menghubungkan pengunjung dengan pelbagai maklumat mengenai spesies hutan secara dalam talian.
Hanya dengan mengimbas kod QR atau tag Near-field Communicator (NFC) pada telefon pintar, pengunjung terus didedahkan dengan segala maklumat tanpa perlu mencari dalam enjin carian Google.
“Awana Biopark dibangunkan bagi meningkatkan kesedaran akan kepentingan melindungi biodiversiti. Dalam hal ini, hanya empat peratus sahaja kawasan digunakan bagi kerja-kerja pembangunan dan selebihnya adalah untuk menjaga kekayaan hutan bagi menarik pengunjung untuk lebih mendekati alam semula jadi,’’ katanya.
Bertujuan untuk mempromosi tarikan semula jadi di negara ini dan membuka peluang kepada pengunjung menikmati udara segar yang bertiup melalui bayangan-bayangan pokok hutan hujan Gunung Ulu Kali ini.
Sehubungan itu, tiga laluan jalan hutan baharu diperkenal selain usaha untuk memulihara tumbuh-tumbuhan periuk kera dan buluh di Awana Biopark.
Khazanah alam itu mampu menggamit pencinta alam untuk datang melawat dan meneroka keajaiban ekologinya yang jaraknya hanya 15 minit berjalan dari hotel.
Laluan Pemuliharaan Tumbuhan Periuk (Pitcherplant Conservation) adalah kawasan yang sesuai bagi melihat tumbuh-tumbuhan spesies karnivor. Laluan tersebut turut membuka peluang kepada pengunjung untuk melihat lintasan burung enggang (hornbill) yang terbang secara bebas.
Laluan Hutan Herba (Herb Forest Trail) dan Laluan Biodiversiti (Biodiversity Trail) yang masing masing berkeluasan 1.8 kilometer (km) dan 2.7 km memberi ruang yang lebih banyak lagi kepada pengunjung untuk menikmati rupa hutan hujan purba Gunung Ulu Kali ini.
Laluan Hutan Herba memiliki tarikan tumbuhan buluh liar yang luas dan juga herba-herba hutan yang memberikan manfaat kepada manusia dan juga hidupan liar.
Laluan-laluan berkenaan juga menawarkan lima jenis pengembaraan akan mendedahkan pengalaman dalam aspek yang berbeza.
Selain tiga laluan berkenaan, tarikan lain adalah Hutan Wi-Fi bersama Shinrin Yoku yang tujuannya untuk menghargai kepelbagaian hutan.
Di sini, pengunjung boleh memanfaatkan penggunaan telefon pintar bagi menjelajah kekayaan biodiversiti hutan hujan ini.
Sementara itu, pengalaman The Experience pula menggalakkan lagi sifat berani pengunjung kerana aktiviti di sini memerlukan mereka menuruni papan sudut 55 darjah menggunakan tali yang disediakan bagi menikmati keindahan hutan.
Apabila senja menjelma, pengunjung yang memiliki perasaan ingin tahu yang tinggi dapat meneroka hutan dalam gelap melalui sesi Pencarian Malam.
Pengalaman melangkah masuk ke dalam hutan ini amat menyeronokkan kerana pengunjung ‘disajikan’ dengan bunyian binatang liar seperti siamang, cengkerik dan burung seolah-olah mengucapkan selamat datang.
Dibuai oleh angin bayu yang dingin turut memberikan kesegaran yang cukup sempurna, sekali gus membuatkan pengunjung terpukau dengan kekayaan alam semula jadi di hutan Awana Biopark, Genting Highlands.
Peluang saksi ‘Romeo dan Juliet’
Pengunjung turut berpeluang untuk menyaksikan sepasang siamang terkenal di Genting Highlands iaitu Romeo dan Juliet yang berlegar-legar di bahu jalan seolah-olah sedang menari.
Situasi ini adalah bukti bahawa spesies mamalia ini serasi untuk meneruskan hidup mereka di hutan hujan tropika Genting Highlands.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat menyaksikan burung yang terbang bebas di dalam hutan ini menggunakan teropong binokular.
Hampir 250 spesies burung terdapat di sini yang terdiri daripada burung hijrah dari negara Mongolia, Jepun, Siberia dan Taiwan.
Burung-burung ini kebiasaannya berhijrah ke hutan fesyen Awana Biopark bermula bulan September sehingga pertengahan Mac ekoran musim sejuk yang melanda di negara berkenaan.
Selain aktiviti meneroka hutan, Awana Biopark turut menyediakan kemudahan kem bina semangat berpasukan dan juga ruang menikmati secawan teh.
Ruang ini membolehkan pengunjung menikmati muzik di dalam hutan melalui tag-tag NFC yang disediakan.
Bukan itu sahaja, artis saksofonis turut dijemput bagi menghiburkan pengunjung dan perkhidmatan meraikan kejutan hari jadi di dalam hutan.
Resort World Genting turut menjalinkan kerjasama dengan pakar alam semula jadi iaitu Treks yang dikelolakan oleh Eddie Chan dan juga Pat Ang bagi membimbing serta berkongsi maklumat menarik kepada pengunjung yang melibatkan keseluruhan hutan, burung-burung eksotik dan spesies-spesies hutan tersorok yang melibatkan penggunaan teknologi bagi sesi pembelajaran-penerokaan yang menyeronokkan.
Kesemua perjalanan untuk menerokai keindahan Awana Biopark ini memerlukan pengunjung membuat temu janji terlebih dahulu dan bayaran yang berbeza dikenakan bagi laluan tertentu iaitu serendah RM75 seorang.










