Nigeria pembeli beras kedua terbesar dunia - Utusan Malaysia

Nigeria pembeli beras kedua terbesar dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABUJA 16 Nov. – Pengimportan beras Nigeria melonjak 13 peratus tahun hadapan kepada 3.4 juta tan, menjadikan negara paling padat penduduk di Afrika itu sebagai pengimport beras kedua terbesar di dunia, selepas China, menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).

USDA dalam Laporan Prospek Beras yang diterbitkan Selasa lalu menunjukkan China dan Nigeria dijangka kekal sebagai negara pengimport beras terbesar pada 2019, di­susuli Kesatuan Eropah, Cote d’Ivoire, dan Iran.

“Nigeria dan Mesir juga dijangka mewakili bilangan terbesar di dalam peningkatan import tahun hadapan,” kata USDA seperti dilapor oleh Bloomberg.

Unjuran pertumbuhan import itu merupakan masalah kepada kerajaan Nigeria yang berhasrat menghentikan pengimpotan beras menjelang akhir tahun ini untuk menjimatkan tukaran wang asing.

Pengeluaran telah bertambah lebih 50 peratus sejak 2012 kepada 3.7 juta tan tahun lalu. Permintaan domestik negara itu meningkat empat peratus kepada 6.7 juta tan pada 2017-2018 berakhir Mei lalu.

Pesawah padi di Nigeria te­lah melaporkan penurunan daripada segi pengeluaran sejak tahun lalu disebabkan gabungan faktor kos input lebih tinggi, ketidaktentuan dan bencana banjir di wilayah penanaman utama negara tersebut.

Pada masa sama, penduduk telah beralih selera kepada beras di dalam negara yang memiliki hampir 200 juta penduduk itu.

“Hujan juga menjadi hala­ngan kepada pesawah padi tahun ini.

“Di Kebbi sahaja, kami kehilangan lebih daripada 20,000 hektar tanaman padi tahun ini,” kata Pengerusi Persatuan Penanam Padi Nigeria, Mohammed Sahabi di Kebbi, satu daripada negeri penanaman utama beras Nigeria.

Pengeluaran beras global melebihi penggunaan sebanyak 2.3 juta tan, menurut USDA, dengan ‘stok akhir global’ 2018-2019 diunjur mencecah 163 juta tan, iaitu 17.8 juta tan lebih daripada unjuran sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN