Niat bunuh – PM - Utusan Malaysia

Niat bunuh – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan rusuhan yang hampir meragut nyawa anggota bomba di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya dekat sini mempunyai niat untuk membunuh mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24.

Kesal dengan nasib menimpa mangsa, Perdana Menteri berkata, kumpulan tersebut jelas terdiri daripada mereka yang tiada perasaan.

“Saya tengok kepada kea­daan mangsa, nampak jelas orang yang melakukannya (perusuh) mempunyai niat untuk membunuh.

“Kita boleh ada demonstrasi, tetapi perlu berlangsung de­ngan aman, namun yang berlaku sekarang ini bukan satu demonstrasi, ia satu tindakan untuk membunuh bila mereka datang dengan parang dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa setengah jam melawat Muhammad Adib untuk mengetahui perkembangan yang sebelum ini dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Perdana Menteri menjelaskan, biarpun pihaknya tidak mempunyai bukti mencukupi namun polis akan melakukan siasatan terperinci untuk mengesan dalang rusuhan tersebut.

Ditanya mengenai tindakan pemaju mengupah samseng tempatan dalam kes tersebut, beliau menyifatkan itu adalah perbuatan tanpa berfikir.

Malah ujar beliau, tindakan pihak tersebut membuktikan mereka langsung tidak faham budaya masyarakat di negara ini.

“Orang asing ini tidak faham budaya di Malaysia, tidak boleh buat macam itu. Kalau kita dapat tahu siapa yang melakukannya, pihak Peguam Negara akan mengambil tindakan,” tegasnya.

Mengulas mengenai pihak pengurusan kuil yang meminta campur tangan kerajaan, Perdana Menteri memberitahu, beliau akan membuat kenyataan berhubung perkara itu di Parlimen esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN